Site icon TechNave BM

Infinix ZERO 30 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 November 2023

Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Infinix ZERO 30 5G pada hari Khamis, 2 November 2023. Syarikat itu juga akan memulakan pertandingan ZERO 30 5G Vlogging Competition yang akan berlangsung sehingga 3 Disember 2023, di mana peserta boleh merakam vlog kreatif dan berpeluang untuk menangi sebuah Infinix ZERO 30 5G.

Antara ciri menarik pada telefon ini termasuklah fungsi rakaman video dengan resolusi 4K pada kadar 60fps dan nisbah aspek sinematik 2.35:1. Kameranya terdiri daripada sistem 108MP OIS Ultra-Clear Camera yang menawarkan penstabilan imej optikal dan pelbagai mod fotografi untuk kebanyakan situasi cahaya.

Di hadapan, ia mempunyai skrin Ultra Slim 3D Curved Screen yang melengkung di bahagian sisi, dengan panel AMOLED dan kadar segar semula 144Hz. Badannya juga mempunyai rating kalis air dan debu IP53 supaya ia boleh dilindungi daripada habuk atau percikan air.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 8020 yang boleh menjana prestasi kelas pertengahan dan cukup untuk kebanyakan aplikasi harian.

Jika anda berminat untuk menyertai pertandingan ZERO 30 5G Vlogging Competition, anda perlu mencipta sebuah video Instagram Reel dengan durasi 60 saat dalam format menegak, kemudian muat naik dengan hashtag #CaptureYourOwnStoryMy, #InfinixMalaysia dan #Zero305G. Anda juga perlu isi borang pendaftaran dalam Google Form yang boleh diakses daripada laman web Infinix.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version