Site icon TechNave BM

Ini cara bagaimana anda boleh buat laporan polis secara atas talian

Membuat laporan polis boleh menjadi agak merumitkan terutama jika anda tidak biasa dengan prosedurnya. Jika anda ingin membuat laporan polis untuk kes kehilangan dokumen atau barang yang tidak berkaitan dengan jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM mempunyai portal atas talian untuk anda berbuat demikian.

Laman atas talian untuk membuat laporan polis tersebut ialah e-Pelaporan PDRM. Perkhidmatan ini merupakan inisiatif PDRM untuk memberi kemudahan atas talian kepada orang ramai untuk mengemukakan aduan kepada polis melalui internet.

Sebagai pengguna baharu, perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk menggunakan perkhidmatan ini ialah dengan mendaftar akaun dalam e-Pelaporan PDRM. Isikan butiran yang diperlukan di halaman web pendaftaran pengguna baharu di sini dan seterusnya klik pada pilihan ‘Daftar Pengguna’.

Kemudian, kembali ke halaman utama dan log masuk menggunakan nombor Kad Pengenalan dan kata laluan anda. Jawab soalan berkaitan laporan polis dan tekan ‘OK’. Kemudian, anda akan diarahkan ke bahagian ‘Laporan Polis’ perkhidmatan e-Laporan PDRM di mana anda perlu mengisi butiran peribadi anda, butiran kejadian, perihalan kejadian dan pengesahan.

Anda kemudian boleh mencetak laporan polis selepas penyerahan atau mendapatkan salinannya melalui e-mel. Laporan polis kemudiannya boleh digunakan apabila memohon untuk menggantikan dokumen anda yang hilang di agensi yang berkaitan.

Antara perkara yang boleh anda gunakan perkhidmatan e-Pelaporan PDRM termasuklah:

  • Kehilangan Kad Pengenalan
  • Kehilangan Lesen Memandu
  • Kehilangan Kad Debit/Kredit
  • Kehilangan Telefon Bimbit
  • Kehilangan Laptop
  • Kehilangan Cukai Jalan
  • Permintaan pembatalan permit pembantu rumah (hanya untuk kes pembantu rumah lari dari rumah majikan mereka)
  • Kehilangan atau kerosakan pada peralatan atau dokumen akibat bencana alam

Perlu ambil perhatian bahawa perkara di atas mestilah tidak berkaitan atau disebabkan oleh jenayah. Jika ia berkaitan dengan jenayah, anda mesti membuat laporan polis secara fizikal di balai polis tempatan. Jadi, apa pendapat anda tentang perkhidmatan atas talian oleh PDRM ini?

Kongsi pendapat anda tentang ujian ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Terjemahan: TechNaveEn

Exit mobile version