Site icon TechNave BM

Ini wajah sebenar Perak Man berusia 11,000 tahun, dibina guna kaedah 3D

Teknologi bukan lagi hanya memberi kepentingan dalam industri teknologi maklumat dan telefon pintar, tetapi juga kepada bidang lain termasuklah antropologi dan sejarah. Terkini, sekumpulan penyelidik dengan bantuan pakar reka bentuk 3D telah menghasilkan lakaran wajah Perak Man.

Sepintas lalu, Perak Man ialah rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak. Penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes telah menghasilkan lakaran wajah melalui kaedah pembentukan semula secara virtual 3D.

Menurut salah seorang penyelidik, Perak Man yang dirujuk sebagai Australo-Melanesian dan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir wajah Perak Man ini. Untuk pengetahuan anda, rangka tulang ini mempunyai kecacatan kongenital brchymesophalangia. Namun, Perak Man diandaikan menjalani gaya hidup berburu atau mungkin melakukan tugas lain walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal.

Tambah penyelidik, teknologi 3D yang ada sekarang mampu menghasilkan lakaran muka untuk memberi kefahaman baru mengenai penemuan prasejarah di negara kita. Artikel jurnal mengenai lakaran ini diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medical Sciences USM.

Apakah pendapat anda mengenai lakaran 3D Perak Man? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version