Site icon TechNave BM

Instagram benarkan pengguna kirim gambar melalui pelayar dan perkenalkan beberapa ciri baharu

Instagram pada awalnya dibangunkan untuk aplikasi pada telefon pintar dan kini ia telah disesuaikan untuk digunakan pada pelayar (browser) anda. Instagram sedang membuat beberapa perubahan bagi mengimplankan ciri yang terdapat pada telefon ke pelayar.

Menurut salah sebuah sumber, perubahan ini termasuk dapat menngirimkan kandungan daripada pelayar anda. Instagram mula menguji ciri ini bermula pada Mac lalu dan sudah tiba masanya untuk mereka melancarkan versi sepenuhnya bagi pengguna yang menggunakan pelayar.

Pengguna yang menggunakan pelayar boleh menghantar gambar dan video.  Namun untuk video, ia boleh dikirim dengan had durasi 60 saat sahaja. Ia sedikit mengecewakan kerana pada platform telefon, video yang dikirimkan mampu mencapai lebih daripada 60 minit.

Selain itu, terdapat juga ciri kerjasama (collabs) yang diumumkan oleh Instagram. Fungsi collabs ini ialah dua buah akaun boleh menyunting sesebuah kiriman secara serentak dan kiriman tersebut akan ditunjukkan dalam suapan kedua-dua buah akaun. Syaratnya, anda perlu mendapat kebenaran daripada pemilik asal kandungan tersebut sebelum boleh bekerjasama.

Seterusnya, Instagram juga menambah ciri pengumpulan dana (fundraisers) dalam aplikasinya. Ciri ini dalam tempoh percubaan dan cara menggunakan ia adalah dengan memilih simbol “+”. Selepas itu, terdapat pilihan ‘tambah pengumpulan dana’ (add fundraiser) dan anda boleh menyumbang dana selain daripada mengirimkan gambar.

Adakah anda berminat dengan ciri yang dibawakan oleh Instagram ini? Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Headlines

Exit mobile version