Site icon TechNave BM

Instagram cadang pengguna untuk bina akaun kedua yang dikhaskan untuk rakan terdekat sahaja

Pada tahun hadapan, perkhidmatan media sosial popular Instagram dilaporkan bakal mencadangkan para pengguna untuk mempunyai satu lagi akaun tambahan yang akan dikhaskan untuk ahli keluarga dan rakan-rakan rapat. Cadangan tersebut mungkin akan muncul dalam bentuk pop-up sewaktu pengguna melayari kandungannya.

Selain itu, ia juga akan diutamakan kepada pengguna yang masih lagi mempunyai satu akaun sahaja. Menurut sumber, pengguna boleh mencipta akaun baru yang akan dipautkan dengan kata nama (username) dan kata laluan (password) asal, atau akaun baru sepenuhnya.

Akaun baru boleh ditambah dengan menyentuh lama (long press) pada gambar profil di bahagian bawah kanan skrin atau membuka profil dan tekan pada kata nama pengguna.

Buat masa ini, Instagram sudah pun menyediakan beberapa fungsi yang membenarkan pengguna untuk mengehadkan jumlah pengguna lain yang boleh mengakses kandungan media mereka. Ini termasuklah tetapan privasi dalam profil atau Best Friends dalam Instagram Story.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PCMag

Exit mobile version