Site icon TechNave BM

Instagram kembalikan paparan gambar dan video secara kronologikal

Jika anda pernah menggunakan Instagram sewaktu tempoh awalnya pada sedekad lalu, media sosial itu memaparkan kandungan gambar dan video secara kronologikal, di mana kandungan yang paling awal dimuat naik oleh akaun yang diikuti akan muncul paling atas dalam home feed. Apabila anda menatal ke bawah, kandungan media akan dipaparkan mengikut garis masa ia dimuat naik ke Instagram.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian fungsi kronologikal ini diganti dengan paparan berdasarkan algoritma pengguna dan tidak lagi berdasarkan garis masa. Fungsi ini menjengkelkan ramai pengguna kerana home feed memaparkan kandungan yang agak ketinggalan dan kadang-kala bukan dari akaun yang diikuti.

Kini, Instagram mengembalikan fungsi paparan kandungan media secara kronologikal. Untuk melayari Instagram secara kronologikal, anda hanya perlu menyentuh logo Instagram di bahagian atas kiri skrin dan pilih di antara Following atau Favourites.

Following akan menunjukkan semua kandungan gambar dan video yang dimuat naik oleh akaun-akaun yang diikuti oleh anda, dan akan dipaparkan secara kronologikal.

Favourites pula menawarkan fungsi kronologikal yang sama, namun ia hanya akan memaparkan 50 akaun kegemaran yang boleh ditetapkan oleh anda. Kandungan yang dipaparkan oleh akaun Favourites juga akan diutamakan dalam home feed, di mana ia akan ditunjukkan dengan ikon bintang.

Perlu diingati bahawa fungsi Following dan Favourites ini tidak ditetapkan secara automatik dan anda perlu mengaktifkannya sendiri setiap kali anda melayari Instagram.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi baharu ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Meta

Exit mobile version