Site icon TechNave BM

Instagram lancarkan fungsi mirip TikTok bernama Reels dalam lebih 50 negara

Sewaktu nasib media sosial TikTok masih terumbang-ambing berikutan situasi pemilikannya di Amerika Syarikat (AS), Instagram hari ini telah melancarkan fungsi video yang serupa dengan TikTok iaitu Instagram Reels. Pengguna kini boleh memuat naik video 15 saat yang telah disunting dengan muzik popular, efek khas dan pelbagai fungsi kreatif.

Pengguna boleh menonton Reels daripada pengguna lain dalam seksyen Expore, serupa dengan seksyen For You Page dalam TikTok. Alat yang boleh digunakan dalam Reels termasuklah lagu dalam Instagram Music, efek augmented reality, pemasa (timer) dan kelajuan video.

Reels boleh dikongsi secara tetap ke dalam profil pengguna ataupun hanya akan muncul selama 24 jam di dalam Instagram Story. Seksyen Explore juga akan menunjukkan Reels yang sedang menjadi trend dan ia akan mempunyai label Featured. Setakat ini Reels sudah pun berada dalam lebih 50 negara seperti India, Brazil, Perancis, Jerman, United Kingdom, Jepun, Australia, Sepanyol, Mexico dan Argentina.

Jika sebelum ini Instagram menemui kejayaan dalam Stories dengan mengambil idea daripada Snapchat, fungsi Reels ini juga mungkin akan membawa kejayaan yang serupa untuk Instagram. Beritahu kami di Facebook jika anda teruja dengan fungsi Instagram baru ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Instagram Blog

Exit mobile version