Site icon TechNave BM

Instagram terap piawaian PG-13 untuk lindungi pengguna remaja

Instagram kini memperkenalkan piawaian baharu bagi akaun remaja di platformnya dengan memperkenalkan sistem kawalan kandungan berpandukan penarafan PG-13 bagi melindungi pengguna muda daripada bahan yang dianggap tidak sesuai dengan usia mereka.

Melalui perubahan ini, semua akaun pengguna bawah umur 18 tahun akan secara automatik dikawal di bawah kategori “13+” yang mengehadkan paparan kepada kandungan bersifat ringan dan selamat untuk tontonan umum. Kandungan dengan elemen bahasa kasar, keganasan, aktiviti berisiko, penggunaan bahan terlarang atau unsur seksual akan disekat secara automatik.

Instagram menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan penarafan filem ini merupakan sebahagian daripada langkah berterusan mereka untuk membentuk persekitaran digital yang lebih selamat bagi pengguna muda. Sistem ini akan berfungsi secara tetap tanpa boleh diubah kecuali dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, satu lagi pilihan dinamakan “Limited Content” turut diperkenalkan yang membolehkan kawalan lebih ketat termasuk sekatan terhadap komen, mesej dan interaksi dengan ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI). Ibu bapa juga boleh menandakan kandungan yang mereka anggap tidak sesuai bagi membantu Instagram menambah baik pengesanan automatik pada masa hadapan.

Pelaksanaan ciri ini akan dimulakan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada terlebih dahulu sebelum diperluas ke pasaran global menjelang akhir tahun. Untuk memastikan keberkesanan perlindungan, Instagram turut menggunakan sistem ramalan umur bagi mengesan pengguna yang cuba menyamar sebagai lebih dewasa daripada umur sebenar.

Langkah ini hadir ketika tekanan terhadap platform media sosial semakin meningkat khususnya berkaitan isu keselamatan digital, kesihatan mental dan pendedahan awal terhadap kandungan dewasa dalam kalangan remaja. Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Meta

Exit mobile version