Site icon TechNave BM

Instagram tidak mahu jadi aplikasi perkongsian gambar sahaja, mahu fokus lebih kepada video

Ketua perkhidmatan media sosial Instagram, Adam Mosseri, hari ini telah mengatakan bahawa Instagram tidak akan lagi dikenali sebagai sebuah platform perkongsian gambar berbentuk petak (square photo). Sebaliknya, beliau ingin menjadikan Instagram sebagai sebuah platform hiburan yang difokuskan kepada video.

Dalam sebuah video pendek, beliau menjelaskan bahawa kini lebih ramai orang menonton video dalam media sosial sebagai sumber hiburan, oleh itu Adam ingin menjadikan Instagram sebagai sumber video yang lebih menyeluruh. Pengguna kini mungkin akan melihat lebih banyak kandungan yang tidak semestinya dihasilkan oleh akaun yang diikuti dan boleh menontonnya dalam skrin penuh (full-screen).

Beliau turut mengatakan Instagram kini menghadapi saingan yang sengit daripada YouTube dan TikTok, oleh itu Instagram ingin menyediakan lebih banyak fungsi agar pengguna akan kekal dengan media sosial tersebut. Daripada apa yang dinyatakan oleh beliau, kita mungkin boleh jangkakan Instagram untuk menyediakan antara muka (UI) seperti YouTube di mana pengguna akan menerima cadangan (recommendations) berdasarkan video yang pernah ditonton sebelum ini.

Selain video, Adam juga mengatakan Instagram bakal membawa perubahan untuk pencipta kandungan (creators), e-dagang dan pemesejan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version