Site icon TechNave BM

Instagram wajibkan pengguna daftar tarikh lahir untuk lindungi pengguna bawah umur

Perkhidmatan media sosial popular Instagram hari ini telah mengumumkan bahawa pengguna akan diwajibkan untuk mendaftarkan tarikh lahir agar Instagram boleh mengetahui umur mereka. Langkah ini diambil bagi mengelakkan maklumat pengguna bawah umur untuk dilihat oleh orang dewasa yang mencurigakan.

Bermula hari ini, pengguna yang masih belum mendaftarkan tarikh lahir mereka akan menerima pemberitahuan (notifications) untuk mendaftarkan tarikh tersebut.

Pemberitahuan itu akan dimaklumkan beberapa kali kepada pengguna. Jika pengguna tetap tidak menyatakan tarikh lahir selepas pemberitahuan itu diterima beberapa kali, mereka tidak akan dibenarkan untuk mengguna Instagram.

Selain itu, untuk kandungan media yang sensitif, ia akan dikaburkan terlebih dahulu (hidden). Jika pengguna ingin melihat kandungan tersebut, mereka perlu menyatakan tarikh lahir mereka. Ini adalah ciri yang telah diperkenalkan sebelum ini, namun kini hanya pengguna yang mempunyai umur tertentu boleh menonton kandungan-kandungan ini.

Bagi mengelakkan pengguna daripada untuk menipu umur mereka, Instagram sedang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengesan umur pengguna berdasarkan kandungan-kandungan yang telah dimuat naik sebelum ini, seperti ucapan “hari jadi”. Teknologi AI ini masih lagi dalam fasa pembangunan awal.

Ini adalah langkah terbaru oleh Instagram dalam usaha untuk melindungi pengguna bawah umur. Sebelum ini, mereka telah memperkenalkan beberapa fungsi baru seperti menetapkan akaun kepada peribadi (private) secara automatik buat pengguna bawah 16 tahun bagi mengelakkan gambar mereka daripada dilihat oleh pihak yang tidak diingini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Instagram

Exit mobile version