Site icon TechNave BM

Institut muzium AS beri akses 3 juta gambar bersejarah kepada orang awam

Institut muzium-muzium yang dikelolakan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), Smithsonian Institution, telah melancarkan laman web Smithsonian Open Access di mana orang awam boleh memuat turun dan menggunakan hampir 3 juta gambar digital daripada koleksi institut tersebut.

Koleksi gambar tersebut, terdiri daripada imej 2D dan 3D, datang daripada 19 muzium, sembilan pusat penyelidikan, perpustakaan, arkib dan juga Zoo Kebangsaan. Ia melambangkan koleksi data saintifik selama lebih dua abad dan Smithsonian Institute juga akan memasukkan lebih 200,000 gambar baru ke dalam Open Access pada tahun ini.

Gambar-gambar tersebut disenaraikan dalam lesen Creative Commons Zero (CC0) di mana sebarang kekangan atau hak milik sebelumnya kini tiada lagi dan boleh digunakan oleh orang awam secara bebas tanpa perlu meminta izin Smithsonian atau membayar yuran. Antara gambar yang boleh diakses ialah potret tokoh-tokoh AS dan imbasan 3D tulang-tulang dinosaur.

Apakah yang anda ingin tengok daripada perpustakaan digital Smithsonian ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Smithsonian Newsdesk

Exit mobile version