Site icon TechNave BM

Intel Core Ultra Series 3 rasmi di Malaysia, guna proses 18A dan grafik Arc Xe3

Intel secara rasmi memperkenalkan barisan pemproses baharu Intel Core Ultra Series 3 di Malaysia yang menandakan penggunaan pertama proses pembuatan 18A (Panther Lake) dalam segmen pengguna. Cip ini disasarkan kepada laptop nipis dan ringan dengan penekanan kepada prestasi grafik serta kecekapan tenaga.

Core Ultra Series 3 hadir dengan GPU terbina dalam Intel Arc Xe3 yang mampu menawarkan prestasi setanding kad grafik diskret dalam kelas tertentu. Intel turut menyasarkan penggunaan sepanjang hari melalui kecekapan kuasa yang dipertingkatkan selari dengan trend laptop mudah alih premium.

Dalam masa sama, Intel turut mengumumkan Intel Core Series 3 (Wildcat Lake) yang menyasar segmen pertengahan hingga bajet. Walaupun lebih mampu milik, ia dibina atas asas seni bina yang sama dan menawarkan peningkatan prestasi ketara berbanding PC lima tahun lalu. Core Series 3 mampu memberikan sehingga 47% peningkatan prestasi single-thread, 41% multi-thread serta peningkatan sehingga 2.8 kali ganda untuk prestasi AI pada GPU.

Barisan cip pemproses baharu akan digunakan dalam pelbagai model laptop daripada pengeluar utama seperti ASUS, Acer, Dell, HP, Lenovo dan MSI. Setakat ini, tiada tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran Malaysia diumumkan bagi setiap model, namun beberapa peranti telah mula dipertontonkan yang menandakan pelancaran komersial semakin hampir.

Pengenalan Core Ultra Series 3 memperlihatkan fokus Intel untuk mengukuhkan prestasi grafik terbina dalam serta keupayaan AI dalam laptop moden sambil mengekalkan kecekapan tenaga untuk penggunaan harian. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version