Site icon TechNave BM

Intel perkenal komputer riba dengan skrin boleh lipat

Skrin lipat dalam telefon pintar adalah satu teknologi yang menjadi bahan bualan dalam dunia teknologi pada tahun lepas, terutamanya dengan pelancaran Samsung Galaxy Fold. Sekarang, Intel muncul pula dengan sebuah komputer riba yang turut menggunakan skrin lipat.

Syarikat cip elektronik itu memperkenalkan Horseshoe Bend, sebuah komputer dengan skrin OLED yang boleh dilipat dalam Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020, dengan ukuran 17.3 inci apabila ia dibuka sepenuhnya. Apabila dilipat secara separuh, ia boleh digunakan seperti laptop biasa, cuma ruang papan kekunci yang biasa digunakan dalam komputer riba lain digantikan dengan skrin.

Dalam demonstrasi di CES, Intel menunjukkan bagaimana pengguna boleh meleret skrin daripada atas hingga bawah dan menyunting video di mana garis masa penyuntingan berada di bahagian bawah.

Ini bukanlah komputer riba dengan skrin lipat yang pertama dalam CES 2020. Lenovo juga mempamerkan ThinkPad X1 Fold dengan ciri yang serupa, cuma ia lebih kecil sedikit iaitu 13.3 inci apabila ia tidak dilipat. Horseshoe Bend lebih mirip kepada komputer riba kerana skrinnya yang lebih besar.

Namun, Horseshoe Bend hanyalah sebuah prototaip manakala ThinkPad X1 Fold pula akan dipasarkan bermula pertengahan tahun ini dengan harga US$2,499 (~RM10,200). Adakah anda berminat untuk skrin lipat digunakan dalam komputer riba? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version