Site icon TechNave BM

Internet 1.5Gbps bukan lagi satu angan-angan kosong

Buat masa ini, piawaian Wi-Fi 6 sudah pun dilancarkan secara rasmi tetapi ia masih dianggap sebagai teknologi baru dan belum mendapat tempat dalam penggunaan orang awam. Untuk mengetahui sejauh mana kelajuan internet boleh dicapai dengan Wi-Fi 6, CNET memutuskan untuk mengujinya dengan memuat turun fail yang amat besar.

CNET menggunakan router TP-Link Archer AX6000 dan mendapati ia mencapai kelajuan muat turun purata sebanyak 1,523Mbps atau 1.5Gbps. Sebagai rujukan mudah, CNET berjaya memuat turun semua 22 filem Marvel Cinematic Universe (MCU) dalam resolusi 4K yang berjumlah 1,580 GB dalam masa hanya 2 jam 18 minit.

Ini adalah jauh lebih pantas daripada purata kelajuan internet di Amerika Syarikat yang memerlukan hampir 30 jam untuk memuat turun jumlah fail yang sama. Akan tetapi perlu diingat bahawa penggunaan Wi-Fi 6 masih bergantung pada Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) yang laju serta peranti yang dihubungkan perlulah mempunyai sokongan Wi-Fi 6, sesuatu yang masih tidak dilengkapi dalam kebanyakan peranti. Sebagai contoh, setakat ini telefon pintar yang mempunyai Wi-Fi 6 hanyalah telefon-telefon flagship seperti Samsung Galaxy S10 dan iPhone 11.

Walau bagaimanapun, ujian ini adalah satu pratonton yang menarik terhadap teknologi tahun-tahun terdekat. Kongsi pendapat anda tentang Wi-Fi 6 di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version