Site icon TechNave BM

Internet Malaysia antara yang paling terjejas akibat peningkatan penggunaan sewaktu wabak COVID-19

Sebelum ini, kami sudah pun melaporkan tentang kelajuan internet di Malaysia yang semakin perlahan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini, sebuah kajian menunjukkan bahawa infrastruktur internet dalam negara kita adalah antara yang paling terjejas sepanjang wabak COVID-19 ini memaksa ramai orang untuk kekal di dalam rumah.

Pakar ekonomi daripada syarikat pengumpulan data, KASPR DataHaus, telah membandingkan data penggunaan internet pada 12-14 Februari 2020 dengan 18-20 Mac 2020 dan mencipta sebuah peta Global Internet Pressure untuk melihat corak pengunaan internet bagi setiap negara.

Malaysia adalah negara kedua tertinggi dalam meletakkan tekanan pada infrastruktur internet negara, hanya melepasi Iran. Walaupun terdapat negara yang mempunyai kes jangkitan yang lebih banyak seperti China, United Kingdom dan Sepanyol, negara-negara tersebut tidak mengalami peningkatan penggunaan internet setinggi Malaysia.

Ini mungkin adalah kerana Malaysia telah melaksanakan kawalan pergerakan lebih awal daripada negara-negara lain. Rakyat Malaysia juga semakin mengharapkan pada internet untuk bekerja dari rumah, memesan barang-barang keperluan serta melayari video sewaktu PKP dilaksanakan.

Harap-harapnya infrastruktur internet kita boleh bertahan sehingga PKP selesai. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version