iOS 19 dijangka diumumkan pada Jun 2025 tetapi sudah menjadi perhatian dengan pendedahan tentang ciri utama baharunya iaitu Siri yang lebih interaktif. Menurut Mark Gurman daripada Bloomberg, Siri akan menggunakan model bahasa besar yang canggih untuk menangani permintaan yang lebih kompleks, menjadikannya setanding dengan pembantu AI seperti ChatGPT.
Walaupun Apple akan mempamerkan kemas kini ini semasa WWDC (Worldwide Developers Conference) 2025, ia dijangka akan mula tersedia pada musim bunga 2026 sebagai pelancaran iOS 19.4. Gurman turut mendedahkan bahawa beberapa ciri lain yang dirancang untuk iOS 19 telah ditunda sehingga kemas kini 19.4.
Walaupun beliau tidak menyebut secara khusus apakah ciri-ciri tersebut, penangguhan ini menunjukkan skala perubahan besar yang bakal berlaku. Sementara itu, iOS 18.2 yang akan dilancarkan pada Disember akan memperkenalkan integrasi ChatGPT untuk Siri dengan penambahbaikan lanjut seperti integrasi dengan Google Gemini dijangka dalam kemas kini seterusnya. Namun, Siri masih belum mencapai tahap perbualan penuh seperti ChatGPT sehingga pelancaran iOS 19.4.
Apabila Siri yang diperbaharui dilancarkan, pengguna iPhone mungkin kurang memerlukan perkhidmatan AI pihak ketiga seperti ChatGPT dan Gemini. Sehingga hari pelancaran tahun depan, kemas kini bertahap iOS 18 akan terus meningkatkan fungsi Siri untuk membuka jalan kepada perubahan besar yang dijanjikan dalam iOS 19.
Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors

