Site icon TechNave BM

iPad generasi ke-10 dilancar di Malaysia: Skrin 10.9 inci, cip A14 Bionic dan port USB-C bermula RM2,099

Apple telah melancarkan tablet terbaharunya untuk pasaran Malaysia iaitu iPad generasi ke-10 yang ditawarkan dalam empat warna iaitu perak, kuning, merah jambu dan biru. iPad baharu ini akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM2,099.

Ciri utama tablet ini adalah skrin Liquid Retina berukuran 10.9 inci yang tidak mempunyai sebarang lubang punch hole atau takuk yang menempatkan kamera swafoto. Sebaliknya, kamera swafoto ultra-lebar 12MP itu diletakkan dalam sempadan bezel atas apabila iPad digunakan dalam mod lanskap.

Ini juga merupakan kali pertama sebuah iPad tidak mempunyai butang rumah (home button). Sungguh pun begitu, Touch ID masih boleh diakses di butang kuasa yang berada di bahagian sisi. Untuk hubungan, tablet ini mempunyai port USB-C dan sokongan WiFi 6.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset A14 Bionic dan sistem operasi iPadOS 16. Skrinnya menyokong penggunaan stilus Apple Pencil generasi pertama, namun ia memerlukan dongle berasingan untuk cas dan dihubungkan kepada iPad ini.

Perlu diingati bahawa iPad ini dipasarkan bersama pengecas dan kabel di dalam kotak. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk iPad generasi ke-10:

iPad generasi ke-10 akan dijual di Malaysia pada harga RM2,099 untuk varian WiFi dan RM2,849 untuk varian selular yang menyokong 5G. Apple turut melancarkan varian storan 256GB namun buat masa ini, ia masih belum ditawarkan di Malaysia.

Aksesori baharu yang turut dilancarkan termasuklah papan kekunci luaran Magic Keyboard Folio yang turut mempunyai pad penjejak dan 14 kekunci fungsi (function keys) serta dijual pada harga RM1,249. Apple Pencil bersama dongle dijual pada harga RM479, manakala dongle sahaja berharga RM55.

Sementara itu, harga iPad generasi ke-9 telah diturunkan sebanyak RM100, menjadikan harganya kepada RM1,599 sahaja untuk varian asas.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan iPad baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple

Exit mobile version