Site icon TechNave BM

iPhone 11 ialah telefon pintar paling popular peringkat global pada suku pertama 2020

Terkini, salah sebuah syarikat penyelidikan (Omdia) telah mengeluarkan laporan mengenai model telefon pintar yang mempelopori pembelian pada peringkat global. Sebenarnya, keputusan ini tidak memeranjatkan kita memandangkan kita sudah dapat melihat trend ini melalui laporan Apple, Xiaomi dan Samsung bertakhta dalam senarai ‘Top Smartphones’ pada suku pertama tahun 2020.

Menurut Omdia, iPhone 11 menduduki tangga teratas, melayakkannya menjadi model telefon pintar paling popular. Memandangkan laporan ini adalah berdasarkan peringkat global, mudah untuk kita menganggap bahawa ia bukan sahaja popular di negara tertentu, tetapi seluruh dunia. Jumlah jualannya juga menjangkaui model telefon pintar di tempat kedua, Galaxy A51 dengan besar. Apple iPhone 11 terjual sebanyak 19.5 juta unit berbanding di Galaxy A51 sebanyak 6.8 juta unit sahaja.

Sebagai peringatan, laporan ini hanya berlandaskan garis masa pada suku pertama tahun 2020. Jika dibandingkan dengan laporan suku pertama tahun 2019, iPhone 11 juga mengalahkan jumlah pembelian penghantaran iPhone XR. Mungkinkah Apple sememangnya telah berjaya menangkap kepercayaan pengguna, terutama dari segi ketahanan bateri? Hal ini kerana terdapat laporan sebelum ini yang menyatakan Apple bertakhta sebagai jenama paling memuaskan pengguna, diikuti Samsung di Amerika Syarikat (AS).

Adakah anda memiliki iPhone 11? Apakah pandangan pengguna telefon pintar yang lain? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9To5Mac

Exit mobile version