Site icon TechNave BM

iPhone 12 Pro emas tulen dibuka untuk pra-tempahan, storan 512GB berharga ~RM100,000

Setakat ini, siri iPhone 12 masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Namun, sebuah syarikat pereka mewah Caviar Royal Gift dilihat menyenaraikan pra-tempahan iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max dengan rekaan litupan emas tulen pada harga tinggi yang setimpal dengannya.

Apa yang menariknya, sehingga kini rekaan siri iPhone 12 masih belum diumumkan secara rasmi, namun laman web pereka ini telah menyenaraikan rekaannya. Namun, hanya rekaan panel belakang bersama potongan kamera belakang yang dapat dilihat. Panel belakang memaparkan daya penarik utama dengan sudahan emas tulen bersama lapan berlian. iPhone 12 Pro Max emas ini dibuka pra-tempahannya bermula dengan harga $23,380 (~RM98,909).

Turut dipaparkan, pilihan iPhone 12 Pro/Pro Max di laman web ini mempunyai varian storan bermula 128GB sehingga 512GB.

Tidak terhenti disitu, anda juga boleh pra-tempah iPhone 12 Pro/Pro Max dengan rekaan sudahan kulit haiwan dan titanium. Jika anda menginginkan set emas, anda boleh membeli Apple AirPods Pro bersama iPhone 12 Pro ini dalam litupan emas.

Adakah anda memiliki wang yang melimpah-limpah dan berminat untuk menempah iPhone 12 Pro emas ini, atau anda lebih berminat dengan Sony PlayStation 5 emas? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Baca berita lepas mengenai siri iPhone 12 termasuk jangkaan harga dan spesifikasi di pautan ini.

Sumber: Caviar

Exit mobile version