Site icon TechNave BM

iPhone 13 mungkin akan dilengkapi bateri lebih besar berbanding iPhone 12

Secara amnya, telefon pintar iPhone memang dikenali dengan kapasiti bateri yang lebih kecil berbanding telefon Android kerana sistem operasi iOS yang telah dioptimakan untuk iPhone. Walau bagaimanapun, siri iPhone 13 mungkin akan dilengkapi bateri yang lebih besar bagi menyediakan kapasiti yang lebih tinggi untuk skrin dengan kadar segar semula lebih pantas.

Menurut Digital Chat Station, kapasiti bateri untuk tiga varian iPhone 13 telah pun tertiris daripada laman web pengiktirafan 3C dari China. Tiga telefon itu mempunyai nombor model A2653, A2656 dan A2660 manakala kapasiti bateri masing-masing pula adalah 4,352mAh, 3,095mAh dan 2,406mAh.

Berdasarkan kapasiti bateri ini, A2653 mungkin adalah iPhone 13 Pro Max, A2656 ialah iPhone 13 atau 13 Pro, manakala A2660 ialah iPhone 13 mini. Sebagai rujukan, iPhone 12 Pro Max mempunyai kapasiti bateri 3,687mAh, iPhone 12 dan 12 Pro pula 2,815mAh dan iPhone 12 mini dengan kapasiti terendah iaitu 2,227mAh.

Peningkatan kapasiti bateri ini adalah agak ketara berbanding iPhone 12. Ini mungkin menunjukkan bahawa iPhone 13 mungkin akan dilengkapi skrin dengan kadar segar semula 120Hz, jadi ia memerlukan kapasiti lebih tinggi untuk menjana kadar tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version