Site icon TechNave BM

iPhone 14 mungkin ditangguh kerana hubungan China-Taiwan yang semakin tegang

Berikutan lawatan rasmi oleh Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini dan mengeruhkan hubungan dengan China, Apple mungkin terpaksa menangguhkan pelancaran iPhone 14 pada tahun ini.

Ini adalah kerana Apple bergantung kepada Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) untuk penghasilan cip iPhone dan juga bergantung kepada kilang Pegatron di Suzhou, China untuk pengilangan iPhone.

Susulan daripada lawatan Pelosi, Parti Komunis China (CCP) mengarahkan agar sebarang dokumen penghantaran barang ke negara itu tidak boleh mempunyai perkataan “Taiwan” atau “Republik China”. Pada masa yang sama, kerajaan Taiwan mendesak bahawa semua produk eksport Taiwan perlu mempunyai cop “Taiwan” atau “Republik China.”

Pertelingkahan ini akan menyukarkan penghantaran komponen dari Taiwan ke China dan mungkin menangguhkan pengilangan iPhone di China. Selain itu, ahli eksekutif Pegatron dan TSMC juga dilihat bergaul dengan Pelosi sewaktu lawatannya ke Taiwan, lantas meningkatkan kegusaran China dan mengeruhkan hubungan di antara dua kerajaan tersebut.

Buat masa ini, Apple menasihati syarikat-syarikat yang terlibat dalam penghasilan iPhone untuk membuat pindaan yang perlu bagi komponen yang dihantar dari Taiwan ke China. Sementara itu, penganalisis Apple Ming-Chi Kuo berkata beberapa unit iPhone 14 mungkin akan dibina di kilang Foxconn India bagi menangani masalah ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Phone Arena

Exit mobile version