iPhone 15 dijangka bakal mengabaikan port Lighting yang telah digunakan dalam iPhone-iPhone sebelum ini dan menggantikannya dengan port USB-C, selepas Apple didesak oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk mula menggunakan port tersebut bagi memudahkan para pengguna.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud iPhone 15 boleh digunakan dengan mana-mana peranti yang boleh dihubungkan melalui port USB-C. Menurut sumber, Apple telah membangunkan varian USB-C yang tersendiri supaya hanya aksesori terpilih sahaja boleh dihubungkan dengan iPhone 15.
Port tersebut akan mengesan litar bersepadu (integrated circuit, IC) dan pengiktirafan MFi (Made For iOS) yang terdapat pada aksesori yang dihubungkan. Ini mungkin menunjukkan bahawa Apple akan menghasilkan produk USB-C khas yang hanya boleh digunakan dengan iPhone 15.
Sebelum ini, jika sebuah kabel yang tidak mempunyai IC dan MFi dihubungkan kepada iPhone, sebuah mesej akan terpapar yang mengatakan “aksesori ini tidak disokong (this accessory is not supported)“. Apple memperkenalkan pengiktirafan MFi bagi membantu pengguna memilih produk yang sesuai untuk digunakan dengan iPhone dan mengelakkan sebarang kejadian cetak rompak.
Buat masa ini, peranti-peranti Apple yang mempunyai port USB-C iaitu iPad generasi ke-10, iPad mini, iPad Air dan iPad Pro tidak mempunyai cip IC untuk pengesahan produk. Jika sumber ini benar, iPhone 15 bakal menjadi peranti Apple pertama yang dilengkapi port USB-C khas.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Macrumors

