Site icon TechNave BM

iPhone 16 dilancar: Cip A18 Bionic, Apple Intelligence, 48MP Fusion Camera bermula RM3,999

Apple hari ini telah melancarkan siri telefon pintarnya yang terbaru iaitu iPhone 16 dan iPhone 16 Plus. Kedua-duanya mempunyai spesifikasi dan fungsi yang sama, kecuali daripada segi saiz skrin di mana iPhone 16 dilengkapi skrin 6.1 inci manakala iPhone 16 Plus dengan skrin 6.7 inci.

Badan telefon ini dibina dengan aluminium taraf aeroangkasa dan akan ditawarkan dalam warna biru Ultramarine, hijau Teal, merah jambu, putih dan hitam.

iPhone 16 kini mempunya butang Action Button yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk siri iPhone 15 Pro. Action Button ini membenarkan pengguna mengakses fungsi tertentu dengan lebih cepat, seperti lampu suluh, mencari tajuk lagu, menterjemah bahasa dan banyak lagi.

Satu lagi tambahan pada luaran iPhone 16 adalah butang Camera Control yang dikhaskan untuk fungsi kamera. Ia merupakan sebuah butang yang rata pada bahagian sisi, dengan permukaan yang berkilauan. Dengan satu klik, anda boleh mengakses terus kameranya, dan jika anda tekan lama, anda boleh rekod video. Anda juga boleh ubah mod kamera dengan menggerakkan jari di atas butang ini.

Di hadapan, ia mempunyai skrin yang dibina dengan kaca Ceramic Shield baharu yang lebih tahan lasak sebanyak 50% berbanding generasi Ceramic Shield pertama. Skrin ini juga boleh menjana kecerahan puncak sehingga 2,000 nits bagi memudahkan penggunaan di bawah cahaya terik.

Pilihan warna iPhone 16
Ringkasan ciri-ciri iPhone 16

Untuk spesifikasi dalaman, iPhone 16 menggunakan cip Bionic A18 yang dibina dengan nod proses 3nm generasi kedua. Ia mempunyai enam teras CPU (dua teras prestasi, empat teras kecekapan) dan boleh menghasilkan prestasi lebih pantas sebanyak 30% berbanding A16 Bionic, sambil menggunakan tenaga lebih rendah sebanyak 30%.

Unit pemprosesan grafik pula terdiri daripada lima teras dan menawarkan prestasi lebih tinggi sebanyak 40% berbanding A16 Bionic, sambil menggunakan tenaga lebih rendah sebanyak 35%.

Sewaktu bermain game, cip ini membenarkan iPhone 16 untuk mengekalkan prestasi gaming berterusan (sustained performance) dengan lebih tinggi sebanyak 30% berbanding A16 Bionic. Ia juga menyokong teknologi ray tracing untuk menghasilkan efek bayang-bayan dan sinaran yang lebih realistik dalam game.

Beberapa game yang boleh dimainkan dalam iPhone 16
iPhone 16 akan menerima fungsi Apple Intelligence

iPhone 16 juga akan menerima semua fungsi kecerdasan buatan Apple Intelligence yang diperkenalkan dalam acara WWDC lalu, seperti Writing Tools untuk membantu dalam tugasan menulis, Private Cloud Compute untuk mengakses komputer luaran bagi memproses tugasan AI dengan lebih pantas, cipta emoji baharu, cipta seni AI dengan Image Playground, meringkaskan e-mel dan notifikasi, serta banyak lagi.

Pembantu suara Siri juga akan menerima fungsi Apple Intelligence supaya ia boleh membantu tugasan harian anda dengan lebih pantas. Apple Intelligence juga boleh bantu anda cipta filem pendek daripada gambar dan video yang disimpan dalam iPhone 16.

Untuk fotografi pula, ia mempunyai kamera utama 48MP Fusion Camera (turut berfungsi sebagai kamera telefoto 2x) dan kamera ultra-lebar 12MP yang boleh digunakan untuk mod makro. Dengan dua lensa ini, anda boleh menangkap gambar Spatial Photo atau merakam Spatial Video supaya ia mempunyai sedikit efek 3D sewaktu ditonton dalam Apple Vision Pro.

Ringkasan fungsi kamera iPhone 16

Selain menangkap gambar, anda boleh menggunakan kamera untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai suatu objek yang terdapat di hadapan kamera. Anda juga boleh menetapkan acara dalam kalendar, dengan menunjukkan kamera kepada poster acara tersebut yang mempunyai tarikh dan waktu penganjurannya.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk iPhone 16:

Layari laman web Apple Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai iPhone 16. Pra-tempahan akan dibuka bermula 13 September, manakala jualan rasmi akan bermula pada 20 September. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan iPhone 16 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version