Apple dilaporkan bersedia untuk memperkenalkan siri iPhone 17 tidak lama lagi dengan pengumuman rasmi dijangka berlangsung hujung bulan ini dan pelancaran penuh kira-kira empat minggu kemudian. Tahun ini, perhatian tertumpu pada kemunculan iPhone 17 Air yang merupakan model baharu ultra nipis yang menggantikan iPhone 16 Plus.
Berdasarkan imej pelindung skrin yang didedahkan, saiz paparan 6.6 inci pada iPhone 17 Air berada di antara model iPhone 17 Pro yang bersaiz 6.3 inci dan iPhone 17 Pro Max yang bersaiz 6.9 inci. Model asas iPhone 17 pula akan kekal dengan skrin 6.1 inci. Perubahan ini menandakan berakhirnya era tiga generasi model Plus bersaiz 6.7 inci.
iPhone 17 Air bukan sahaja lebih nipis, malah menawarkan paparan sedikit lebih kecil daripada pendahulunya, sambil membezakan dirinya melalui sistem kamera tunggal. Kekurangan ciri kamera dan jangka hayat bateri yang lebih singkat mungkin membuatkan sesetengah pengguna berfikir dua kali, namun Apple dijangka memperkenalkan bateri tambahan untuk menampung kekurangan tersebut.
Untuk pengguna yang mengutamakan paparan terbesar, iPhone 17 Pro Max dengan skrin 6.9 inci masih menjadi pilihan utama. Sementara itu, khabar angin menyebut bahawa tahun hadapan bakal menyaksikan pelancaran iPhone boleh lipat pertama dengan paparan dalaman berukuran 7.58 inci. Kehadiran iPhone 17 Air dilihat sebagai langkah percubaan Apple dalam membangunkan teknologi peranti nipis yang dijangka menjadi asas kepada reka bentuk peranti lipat mereka pada masa depan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: X

