Laporan terbaru daripada penganalisis Jeff Pu mendedahkan butiran awal mengenai iPhone 18 Fold yang bakal dilancarkan tahun depan. Menurutnya, Apple akan menggunakan gabungan bahan titanium dan aluminium bagi rangka peranti tersebut sebagai satu rekaan hibrid yang dikatakan menyerupai dua iPhone Air diperbuat daripada titanium yang disusun bersebelahan.
Sebelum ini, Ming-Chi Kuo turut melaporkan bahawa engsel peranti akan menggabungkan keluli tahan karat dan titanium, manakala bahagian kerangka utama hanya menggunakan titanium. iPhone 18 Fold dijangka hadir dengan skrin luar 5.5 inci dan skrin dalam 7.8 inci, tanpa Face ID tetapi menampilkan Touch ID sebagai kaedah pengesahan biometrik.
Selain perkakasan, iPhone 18 Fold juga akan mempengaruhi pembangunan iOS 27 yang dilaporkan akan dioptimumkan sepenuhnya untuk format boleh lipat termasuk ciri dan antara muka khusus untuk peranti tersebut. Dalam masa yang sama, laporan Pu turut menyebut bahawa permintaan terhadap iPhone 17 ketika ini adalah lebih tinggi daripada jangkaan, menunjukkan momentum kukuh untuk barisan produk Apple menjelang pelancaran peranti baharu itu.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: 9to5mac

