Site icon TechNave BM

iPhone baru pada masa hadapan akan dilengkapi iOS terkini, walaupun sebelum ia dikeluarkan dari kotak

Apple dikhabar akan memperkenalkan sistem baharu di kedai-kedainya, di mana semua model iPhone baharu akan dilengkapi kemas kini iOS yang paling terkini, walaupun sebelum ia dikeluarkan daripada kotak. Ini akan memudahkan pelanggan baharu kerana mereka tidak perlu lagi menunggu lama untuk mengemas kini iOS selepas membeli iPhone baharu.

Menurut wartawan Bloomberg, Mark Gurman, sistem baharu ini dinamakan “Presto within Apple” dan akan memastikan semua iPhone di kedai Apple dikemas kini dengan perision iOS terkini, supaya pelanggan akan terus menikmati versi iOS terkini apabila mereka mula menggunakan iPhone baharu.

Sebelum ini, pelanggan yang membeli iPhone baharu perlu menunggu agak lama di kedai kerana mereka perlu memuat turun versi iOS yang terkini. Selalunya, iPhone baharu dalam kotak akan mempunyai versi iOS yang agak ketinggalan sewaktu ia dibuka, kerana ia hanya mempunyai versi iOS sewaktu ia dikilangkan.

Presto berfungsi dengan menggunakan rak besi yang dilengkapi teknologi MagSafe dan lain-lain teknologi wayarles untuk menghidupkan iPhone, muat turun kemas kini terbaru kemudian mematikan iPhone secara automatik selepas kemas kini itu siap dipasang.

Gurman mengatakan sistem Presto akan diperkenalkan dalam kedai-kedai Apple di Amerika Syarikat bermula bulan April. Apple telah pun menguji sistem tersebut di kedai-kedai terpilih sejak hujung tahun lalu.

Adakah anda berminat dengan sistem ini? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechRadar

Exit mobile version