Site icon TechNave BM

iPhone SE 2022 mungkin kekal dengan skrin 4.7 inci, versi 2023 dengan skrin ‘punch-hole’

Sebelum ini, kami telah melaporkan bahawa generasi baru iPhone SE bakal ditangguh ke tahun hadapan dan sebuah iPhone SE dengan saiz lebih besar mungkin akan dilancar pada tahun ini.

Terbaru, sumber menyatakan Apple tidak akan melancarkan sebarang telefon dari siri SE ini sehinggalah pada tahun 2022. Sumber memberitahu bahawa iPhone SE 2022 mungkin akan hadir dengan reka bentuk yang hampir sama seperti iPhone SE 2020, manakala iPhone SE 2023 pula akan hadir dengan reka bentuk yang lebih ketara.

Untuk iPhone SE 2022, ia dikatakan akan kekal menggunakan skrin 4.7 inci dan hadir dengan cipset yang menyokong 5G (mungkin terhad pada sub-6GHz sahaja).

iPhone SE 2023 pula dikhabarkan akan hadir dengan skrin 6.1 inci jenis berlubang (punch-hole) berbanding takuk atau bezel yang tebal. Sebelum ini, Apple dikatakan akan menggunakan skrin berlubang untuk iPhone 14, jadi ia tidak mengejutkan jika iPhone SE yang dilancarkan setahun kemudian hadir dengan jenis skrin yang sama.

Apa pun, ini hanyalah khabar angin sahaja dan bukannya daripada sumber rasmi.

Nantikan berita lanjut mengenai peranti ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : MacRumors

Exit mobile version