Site icon TechNave BM

iPhone SE 3 mungkin ditangguh ke tahun 2022, iPhone SE Plus dilancar tahun ini

Sebelum ini, kami melaporkan bahawa Apple mungkin akan melancarkan generasi baru iPhone SE pada bulan April tahun ini. Namun, sumber terbaru dalam talian menyatakan bahawa Apple mungkin akan menangguhkan pelancaran telefon itu ke tahun hadapan.

Berdasarkan sumber, iPhone SE 3 (2022) akan dilengkapi skrin 4.7 inci dan masih mengekalkan reka bentuk yang hampir sama seperti generasi yang lalu. Yang menarik, Apple dikhabarkan akan menaiktaraf cipsetnya (mungkin A14 Bionic atau A15 Bionic) dan menambahkan sokongan 5G.

iPhone SE 2020

Penangguhan pelancaran iPhone SE 3 pada tahun hadapan bukan bermakna Apple tidak akan melancarkan sebarang telefon dari siri iPhone SE pada tahun ini. Menurut sumber, Apple akan melancarkan iPhone SE Plus pada hujung tahun 2021.

iPhone SE Plus dijangka akan hadir dengan skrin 6.1 dengan bezel yang nipis seakan iPhone 11. Selain itu, ia dikatakan akan dilengkapi kamera utama 12MP dan kamera swafoto 7MP. Untuk cipset, ia dijangka akan mengggunakan cipset A14 Bionic tanpa sokongan 5G dan mempunyai sensor cap jari pada sisi telefon.

Apa pun, semua spesifikasi ini hanyalah dari sumber tidak rasmi. Tarikh pelancaran dan spesifikasi peranti ini mungkin berubah dari masa ke semasa.

Adakah anda berminat dengan iPhone SE 3 atau iPhone SE Plus? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version