Site icon TechNave BM

iPhone tahun ini akan ditangguh, menurut pembekal komponen kepada Apple

Broadcom Inc, sebuah syarikat pembekal utama untuk Apple, mungkin telah menyatakan bahawa iPhone yang dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun ini mungkin akan ditangguhkan. CEO Broadcom, Hock Tan, menyatakan terdapat ‘penangguhan kitaran produk besar’ dalam sebuah ‘syarikat telefon mudah alih Amerika Utara yang utama.’ Walaupun beliau tidak menyatakan Apple secara jelas, beliau sering merujuk kepada Apple apabila berkata sedemikian.

Jika Apple kekal dengan garis masa seperti dalam tahun-tahun lalu di mana mereka mengumumkan iPhone baru pada bulan September, Apple sepatutnya sudah membuat pesanan untuk komponen daripada Broadcom pada tempoh suku tahun terkini yang berlangsung sehingga Julai. Walau bagaimanapun, Broadcom mengatakan mereka masih belum menerima sebarang pesanan daripada Apple pada tahun ini.

Penangguhan ini disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menyukarkan jurutera Apple untuk pergi ke China dan memuktamadkan komponen telefon tersebut, sebaliknya terpaksa bekerja dari rumah sejak awal tahun ini.

Selain itu, Hock Tan juga menyatakan bahawa memandangkan majoriti populasi dunia terpaksa berada di rumah, permintaan (demand) terhadap telefon pintar juga semakin menurun. Ini akan menyebabkan kekangan terhadap pembekalan (supply) yang boleh dihasilkan oleh Broadcom.

Kongsi ramalan anda di Facebook kami jika iPhone untuk tahun 2020 ini akan ditangguhkan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bloomberg

Exit mobile version