Site icon TechNave BM

iQOO 13 tiba secara rasmi di Malaysia pada 4 Disember ini

iQOO 13 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi selepas sebulan ia diperkenalkan di China pada Oktober lalu. Melalui akaun rasmi Facebook iQOO Malaysia, syarikat tersebut mengumumkan bahawa peranti andalan ini akan dilancarkan dalam pasaran tempatan pada 4 Disember 2024 jam 1 petang.

Dikenali sebagai “Malaysia Monster Gaming Smartphone”, iQOO Malaysia mengesahkan bahawa peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Selain itu, beberapa hantaran di akaun Facebook mereka turut mendedahkan spesifikasi telefon pintar ini bagi meningkatkan keterujaan menjelang pelancarannya.

Untuk pengetahuan, spesifikasi iQOO 13 telahpun diketahui kerana ia sudah dilancarkan di China. Peranti ini dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.82 inci beresolusi 2K menggunakan panel AMOLED LTPO 2.0 buatan BOE dengan kadar segar semula 144Hz.

Ia juga menyokong paparan Q10 dengan kecerahan maksimum 1800 nits, peredupan PWM 2592Hz serta reka bentuk berlubang untuk kamera swafoto 32MP. Di samping cipset Snapdragon 8 Elite, peranti ini turut dilengkapi cip permainan Q2 yang dikatakan mampu menawarkan resolusi tekstur setaraf PC.

Kamera belakangnya terdiri daripada lensa utama 50MP Sony IMX921, lensa ultra-lebar 50MP Samsung S5KJN1 dan lensa telefoto 50MP Sony IMX816. Untuk varian dan harga iQOO 13 di Malaysia, kita perlu menunggu sehingga 4 Disember untuk maklumat lanjut.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan iQOO 13 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version