iQOO hari ini melancarkan telefon pintar flagship terbaru di China iaitu iQOO 15. Telefon ini dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri canggih sebagai telefon flagship untuk 2026, termasuklah cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan cip gaming Q3 yang menjana prestasi pantas untuk segala game anda.
Ia dilengkapi skrin LEAD OLED 8T LTPO berukuran 6.85 inci dengan resolusi 2K (3168×1440), kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 6,000 nits dan kadar bacaan sentuh (touch sampling rate) sehingga 3,200Hz.
Panel LEAD OLED menawarkan penggunaan tenaga yang lebih rendah, kecerahan lebih tinggi, rekaan lebih nipis, binaan lebih mesra alam dan penggunaan yang lebih mesra pada mata dengan Pleasing Eye Protection 2.0.
iQOO 15 menawarkan RAM Ultra Pro LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman UFS 4.1 sehingga 1TB. Baterinya pula berkapasiti 7,000mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 100W serta pengecasan wayarles 40W.
Untuk penyejukan, ia mempunyai kamar wap (single-layer vapour chamber) satu lapis yang terbesar dalam industri, dengan keluasan 8,000mm² dan meningkatkan pelesapan haba sebanyak 5% berbanding generasi sebelumnya. Ia juga mempunyai dua lapis graphite dengan konduktiviti haba setinggi 2,000W/mK dan kawasan pemindahan haba lebih 14,000mm².
Di belakang, telefon ini mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 50MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 32MP.
Ia didatangkan dalam pilihan warna Lingyun, Legendary Edition, Track Edition dan Wilderness. Ia turut mempunyai rating kalis air IP68/69 supaya ia boleh dilindungi daripada percikan air.
iQOO 15 akan dijual di China pada harga bermula CNY4,199 (~RM2,490) untuk varian memori 12GB+256GB. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan iQOO 15 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

