Site icon TechNave BM

iQOO 3 5G dirasmikan: telefon gaming dengan SD 865, penyejukan cecair dan pengecasan pantas

Jenama telefon pintar gaming yang berada di bawah naungan vivo, iQOO, hari ini melancarkan produknya yang terbaru iaitu iQOO 3 5G. Spesifikasinya memang ditujukan kepada penggunaan gaming yang intensif, seperti yang boleh dilihat pada cipset Snapdragon 865, RAM LPDDR5 dan sistem penyejukan cecair.

Telefon itu mempunyai paparan Super AMOLED berukuran 6.44 inci dengan resolusi Full HD+. Skrin itu yang dinamakan Polar View Display mampu mencapai keterangan 1200nits dan memainkan kandungan HDR10+. Pengimbas cap jarinya pula berada di bawah skrin.

Dengan pengecasan Super FlashCharge 55W, iQOO mengatakan telefon itu boleh mengecas baterinya yang berkapasiti 4,440 mAh sehingga separuh dalam masa 15 minit sahaja. Perisan operasinya pula dilengkapi Ultra Game Mode yang akan menghalang sebarang notifikasi atau panggilan sewaktu sesi gaming.

iQOO 3 5G mempunyai dua butang di bahagian bucu untuk digunakan dalam game. Jika pengguna menekan kedua-dua butang serentak, Monster Mode akan diaktifkan di mana cipset akan beroperasi 100% untuk mengurangkan lag tetapi akan menggunakan bateri dengan lebih banyak.

Setakat ini ia akan dijual dalam pasaran India dengan konfigurasi 8GB+128GB, 8GB+256GB dan 12GB+256GB. Setakat ini tiada maklumat tentang harganya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mendapatkan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version