Site icon TechNave BM

iQOO Neo9 Pro tiba dengan Dimensity 9300 dan skrin 144Hz, Neo9 turut dilancar

iQOO telah menambah dua ahli baharu pada barisan telefon pintar Neo iaitu iQOO Neo9 dan iQOO Neo9 Pro. iQOO Neo9 Pro dikuasakan oleh cipset Dimensity 9300, menjalankan OriginOS 4 berasaskan Android 14, dilengkapi RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 1TB.

Telefon pintar ini juga mempunyai cip Q1 sebagai peneraju untuk meningkatkan pengalaman permainan dengan menawarkan kadar bingkai yang stabil. Untuk pengetahuan, cip Q1 ini adalah cip sama yang terdapat dalam iQOO 12. Selain itu, ia mempunyai ruang penyejukan cecair VC 6043mm² dan pam kuasa kapilari dua lapisan untuk membantu pelesapan haba.

Neo9 Pro mempunyai skrin LTPO AMOLED 6.78 inci dengan kadar penyegaran 144Hz, 2,800×1,260 piksel dengan kecerahan puncak 1,400 nits dan sokongan HDR10+. Skrinnya boleh dikendalikan walaupun tangan anda basah atau berpeluh. Paparan juga mempunyai lubang tebuk berpusat untuk kamera swafoto 16MP dan pembaca cap jari bawah skrin.

Bahagian belakangnya pula terdapat persediaan dwi kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan OIS dan ultra lebar 50MP. iQOO Neo9 Pro juga mempunyai reka bentuk antena 360º untuk penerimaan isyarat dan ketersambungan yang lebih baik. Baterinya berkapasiti 5,160 mAh dengan sokongan pengecasan 120W.

iQOO Neo9 Pro juga dilengkapi dengan pembesar suara stereo, NFC, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4. IQOO Neo9 pada asasnya ialah Neo9 Pro yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Gen 2 serta mempunyai kamera ultra lebar 8MP dan bukannya 50MP. Ia juga mempunyai Bluetooth 5.3 dan bukannya 5.4 dan konfigurasi memori yang berbeza.

iQOO Neo9 dan iQOO Neo9 Pro ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, hitam dan merah-putih. Namun, kami masih belum menerima maklumat tentang ketersediannya dalam pasaran tempatan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti terbaharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version