Site icon TechNave BM

iQOO Pad dilancar sebagai tablet pertama oleh iQOO, dilengkapi skrin 12.1″ 144Hz berharga ~RM1,500

Selain melancarkan siri telefon pintar iQOO Neo8, iQOO turut melancarkan tabletnya yang pertama iaitu iQOO Pad. Tablet ini dilengkapi skrin IPS LCD berukuran 12.1 inci dengan resolusi 1800×2889 (nisbah aspek 7:5) dan kadar segar semula 144Hz. Sebuah kamera swafoto 8MP turut ditawarkan pada skrin tersebut.

Tablet ini mempunyai rangka aluminium dengan ketebalan 6.59mm sahaja dan ia hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna iaitu kelabu. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 9000+, RAM LPDDR4X 8GB atau 12GB, storan UFS 3.1 128GB, 256GB atau 512GB dan sistem operasi OriginOS 3 berdasarkan Android 13.

Baterinya berkapasiti besar 10,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 44W. Modul kamera belakangnya terdiri daripada kamera utama 13MP dan kamera makro 2MP.

Tablet ini mempunyai rekaan dan spesifikasi yang sangat serupa dengan vivo Pad2 yang dilancar pada awal tahun ini. Memandangkan iQOO adalah sub-jenama di bawah vivo, ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Perbezaan yang ketara hanyalah pada cipset, di mana iQOO Pad menggunakan Dimensity 9000+ manakala vivo Pad2 menggunakan Dimensity 9000.

iQOO Pad akan dijual di China pada harga bermula CNY2,299 (~RM1,500) untuk varian asas 8GB+128GB. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version