Site icon TechNave BM

iQOO Z3 5G dilancar: Snapdragon 768G, skrin 6.58″ 120Hz, cas pantas 55W bermula ~RM1,130

Selepas ia dilancarkan dua bulan lalu di China, telefon pintar kelas pertengahan iQOO Z3 5G akhirnya sudah dilancarkan untuk pasaran antarabangsa, bermula dengan India dan dijual pada harga bermula INR19,990 (~RM1,130).

Telefon ini bakal dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 768G yang dibina dengan proses 7nm, skrin LCD berukuran 6.58 inci dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia bakal ditawarkan dalam tiga varian memori iaitu 6GB+128GB, 8GB+128GB dan 8GB+256GB.

RAM telefon ini turut dilengkapi Extended RAM yang menggunakan sebahagian storan dalaman sebanyak 3GB untuk dijadikan RAM. Daripada segi bateri, ia mempunyai kapasiti 4,400mAh dan menyokong pengecasan pantas 55W, di mana iQOO mengatakan boleh mengecas sebanyak 50% sepantas 19 minit sahaja.

Pilihan warna untuk iQOO Z3

Untuk kamera pula, ia dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP manakala di hadapan pula adalah kamera 16MP. Telefon ini menyokong rakaman 4K 60fps, penjejakan autofokus EFB dan penstabilan imej elektronik (EIS).

iQOO juga mengatakan telefon ini dilengkapi teknologi penyejukan cecair lima lapisan yang boleh mengurangkan suhu dalaman sebanyak 10°C.

Ia mula dijual di India pada 8 Jun dan setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: iQOO

Exit mobile version