Site icon TechNave BM

iQOO Z6 dan Z6x dilancar, miliki SD 778G+, skrin 120Hz dan cas pantas 80W bermula ~RM780

Siri iQOO Z6 telah diumumkan di China. Barisan ini terdiri daripada dua peranti iaitu iQOO Z6 dan iQOO Z6x. Model Z6 yang telah dilancarkan hari ini di China adalah peranti baharu yang belum pernah dilancarkan di mana-mana atau penjenamaan semula sebelum ini.

iQOO Z6 mempunyai paparan LCD IPS 6.64 inci dengan reka bentuk lubang tebuk. Ia menawarkan kadar penyegaran 120Hz, resolusi FHD+ dan nisbah bidang 20:9. Ia mempunyai kamera swafoto 8MP. Bahagian belakangnya mempunyai kamera utama 64MP dengan sokongan OIS. Ia digandingkan dengan kamera kedalaman 2MP dan makro 2MP.

Cipset Snapdragon 778G+ digunakan pada peranti ini. Ia menawarkan sehingga 12GB LPDDR5 RAM dan sehingga 256 GB storan UFS 3.1. Baterinya berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan 80W. Menurut iQOO, Z6 boleh mengecas dari 0 hingga 50 peratus dalam masa 10 minit sahaja.

iQOO Z6x menampilkan paparan LCD IPS 6.58 inci dengan takuk titisan air mata. Ia menghasilkan resolusi FHD+ dan kadar penyegaran 144Hz. Ia mempunyai kamera swafoto 8MP dan bahagian belakangya mempunyai dua kamera iaitu kamera utama 50MP serta makro 2MP.

Z6x dilengkapi cipset Dimensity 810. Ia menawarkan sehingga 8GB LPDDR4X RAM dan sehingga 256GB storan UFS 2.2. Z6x ialah telefon pintar pertama iQOO yang menampilkan bateri 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 44W.

iQOO Z6 dan Z6x memiliki sistem operasi Android 12 dengan UI Ocean OriginOS. Kedua-dua model menawarkan ciri seperti pengimbas cap jari pada bahagian sisi, pengimbas muka, sokongan dwi SIM, 5G, Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth 5.1, GPS, port USB-C dan bicu audio 3.5mm.

iQOO Z6 datang dalam tiga varian iaitu 8GB/128GB, 8/256GB dan 12/256GB. Model ini masing-masing berharga 1,699 Yuan (~RM1,110), 1,899 Yuan (~RM 1,240) dan 2,099 Yuan (~RM1,370). Ia tersedia dalam warna Jade Black, Golden Orange dan Star Sea Blue.

Sebaliknya, iQOO Z6x boleh didapati dalam tiga varian iaitu 6/128GB, 8/128GB dan 8/256GB. Model ini masing-masing berharga 1,199 Yuan (~RM780), 1,399 Yuan (~RM912) dan 1,599 Yuan (~RM1,043). Warnanya tersedia dalam pilihan hitam, oren dan biru.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version