Site icon TechNave BM

Jabatan Pendaftaran Negara lancarkan JPN eSERVICES dan ID Digital Nasional, mudahkan urusan pengenalan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini telah melancarkan perkhidmatan dalam talian JPN eSERVICES bagi membantu rakyat melaksanakan pelbagai urusan berkaitan JPN seperti rekod kelahiran, kematian, kad pengenalan, perkahwinan, perceraian dan pengangkutan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memberi jaminan bahawa semua data penting akan dilindungi pada tahap tertinggi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengatakan semua pihak perlu memanfaatkan perkhidmatan baru ini untuk memperbaharui perkhidmatan kerajaan agar menjadi lebih cekap, mesra pengguna dan selamat. Rakyat tidak perlu lagi hadir ke pejabat JPN untuk membuat urusan pendaftaran dan sebaliknya hanya perlu mengakses JPN eSERVICES.

Seramai 41,815 pengguna sudah pun menggunakan JPN eSERVICES sejak Mac lalu dan kerajaan bersedia untuk menambah baik lagi perkhidmatan tersebut. Ia adalah langkah strategik oleh kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kerajaan secara hujung ke hujung (end to end).

Dalam pada itu, beliau turut menerangkan tentang program ID Digital Nasional atau Digital ID yang akan diperluaskan kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia dan tidak akan menggantikan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri. Ia bertujuan memperkukuhkan lagi sistem MyKad fizikal itu dengan harapan untuk membanteras sindiket kad pengenalan palsu dan memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pemalsuan kad pengenalan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version