Site icon TechNave BM

Jabatan Pendidikan di empat negeri akan perkenalkan program e-sukan dalam sekolah

Jabatan Pendidikan Kedah, Perak, Putrajaya dan Johor akan bekerjasama dengan Kelab Sukan Elektronik Generasi Bijak, Kesatuan Sukan Elektronik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan program Generasi E-Sukan Sekolah yang akan mendidik para pelajar sambil bersaing secara sihat dalam permainan video.

Program yang akan bermula pada 6 Mac itu akan berlangsung selama enam bulan sehingga bulan Ogos. Dengan tema “Pendidikan Dalam Permainan”, setiap sesi perlawanan e-sukan akan dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri bagi memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.

Para peserta juga akan didedahkan dengan tabiat healthy gaming oleh doktor pakar, taklimat tentang peluang kerjaya dalam industri e-sukan oleh wakil Mobile Legends Malaysia, Arif Shahir, serta slot tazkirah ringkas daripada pelbagai ustaz.

Pendaftaran telah pun dibuka sejak 6 Februari dan akan berlangsung sehingga 28 Februari. Sebanyak 256 kumpulan sekolah dari kategori rendah dan menengah bagi setiap negeri terlibat akan bertanding dalam program ini, di mana ia diharapkan akan beri peluang kepada murid untuk tonjolkan bakat atlet e-sukan.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menyertai program ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version