Site icon TechNave BM

Jabatan Perangkaan: 95% rumah di Malaysia kini mempunyai hubungan internet

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan rumah di Malaysia yang sudah mempunyai hubungan internet kini sudah meningkat kepada 95.5 peratus pada 2021 daripada 91.7 peratus pada 2020. Peratusan ini adalah berdasarkan Laporan Tinjauan Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahiadin, capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit juga meningkat kepada 99.6 peratus pada 2021 daripada 98.6 peratus pada 2020, manakala komputer pula meningkat kepada 88.3 peratus daripada 77.6 peratus dalam tempoh yang sama.

Penggunaan internet dalam kalangan remaja berusia 15 tahun ke atas juga meningkat tinggi, iaitu sebanyak 96.8 peratus pada 2021 daripada 89.6 peratus daripada 2020. Beliau berkata program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah antara penyumbang utama terhadap peningkatan ini.

Tinjauan tersebut diambil pada September hingga November 2021, selepas sebahagian aktiviti ekonomi mula dibuka pada September 2021.

Beliau turut menambah bahawa aktiviti internet paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial, aktiviti pembelajaran, sivik, politik, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan hiburan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Utama Teknologi Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version