Site icon TechNave BM

Jam tangan pintar anda mungkin boleh kesan COVID-19 lebih awal sebelum sebarang gejala timbul

Pengkaji perubatan di Mount Sinai Health System, New York dan Standford University, California melaporkan bahawa jam tangan pintar seperti Apple Watch, Garmin atau Fitbit mampu mengesan kewujudan virus COVID-19 dalam tubuh pemakai sebelum beliau menunjukkan sebarang gejala yang disebabkan oleh wabak tersebut.

Pengkaji Mount Sinai mendapati Apple Watch mampu mengesan perubahan kecil dalam corak degupan jantung pemakai yang mungkin menunjukkan bahawa pemakai telah dijangkiti COVID-19 sehingga tujuh hari sebelum sebarang demam atau batuk timbul. Pengesanan ini bergantung pada kepelbagaian kadar degupan jantung (heart rate variability) yang turut menunjukkan tahap imunisasi seseorang.

Pesakit COVID-19 dilaporkan mempunyai kepelbagaian kadar degupan yang lebih rendah berbanding biasa. Kepelbagaian degupan yang lebih tinggi pula menunjukkan bahawa sistem saraf pemakai adalah aktif dan lebih mampu bertahan kepada stres.

Kajian serupa daripada Standford University juga menghasilkan keputusan serupa, di mana pemakai jam tangan Garmin, Fitbit, Apple dan lain-lain jenama menunjukkan 81% daripada pesakit COVID-19 menunjukkan perubahan dalam kepelbagaian kadar degupan sembilan hari sebelum sebarang gejala muncul.

Perkara ini boleh menyelesaikan masalah yang timbul daripada ujian (testing) COVID-19 di hospital yang biasanya memerlukan beberapa hari, sebaliknya jam tangan pintar boleh menunjukkan jangkitan COVID-19 secara lebih cepat dan hanya memerlukan beberapa jam.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CBS News

Exit mobile version