Site icon TechNave BM

Jam tangan pintar Fossil Gen 6 tertiris, miliki SD Wear 4100+ bermula ~RM 1,480

Jam tangan pintar Fossil Gen 6 bakal dilancarkan tidak lama lagi tetapi beberapa imej peranti itu telah tertiris di internet. Menurut sumber, jam tangan pintar tersebut akan menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon Wear 4100+.

Menurut data rasmi, cipset Wear 4100+ 12 nm yang digunakan untuk jam tangan pintar Fossil Gen 6 mempunyai prestasi kecepatan 85 peratus berbanding cipset Wear 3100 (Fossil Gen 5). Ia juga menyokong 4G LTE (Cat. 4), GPS, Bluetooth 5.0, 8GB memori dalaman dan pembantu pemprosesan AON yang boleh meningkatkan jangka hayat bateri.

Dengan ciri tersebut, jam pintar ini mampu menyokong pengukuran degupan jantung, pengesanan oksigen darah (SpO2) yang berterusan dan paparan sentiasa hidup (Always On display) dengan 64K warna. Jam tangan pintar Fossil Gen 6 tersedia dalam dua saiz iaitu 42 mm dan 44 mm.

Walaupun berlainan saiz, ianya mempunyai paparan skrin dengan saiz yang sama iaitu 1.28 inci OLED dengan resolusi 416 x 416 piksel. Ia juga mempunyai ketahanan bateri 24 jam untuk kegunaan harian dan menyokong pengecasan pantas yang mampu mengecas bateri sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Seterusnya, jam ini dilengkapi ketahanan air sehingga 50 meter (5 ATM) dan tersedia dalam beberapa pilihan tali seperti logam, kulit dan kain yang sesuai dengan pelbagai gaya sama ada untuk lelaki mahu pun wanita. Fossil 6 akan dilancarkan pada 27 September pada tanda harga €299 (~RM1,480) dan €329 (~RM 1,628).

Adakah anda berminat dengan jam tangan pintar Fossil Gen 6? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: AndroidHeadlines

Exit mobile version