Site icon TechNave BM

Jangan jana “password” anda dengan ChatGPT atau mana-mana perkhidmatan AI!

Syarikat keselamatan siber Kaspersky hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak bergantung kepada perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) berdasarkan model bahasa besar (LLM) seperti ChatGPT, Llama atau DeepSeek dalam menjana kata laluan (password) yang kukuh.

Walaupun semua perkhidmatan ini mampu menjana kata laluan yang nampak rawak dan sukar diramal oleh penggodam, ia sebenarnya mengulangi corak tertentu yang boleh diagak. Selalunya, ia akan menjana kata laluan 12 aksara yang kerap mengulangi simbol tertentu, serta menggunakan perkataan yang terdapat dalam kamus.

Kaspersky menguji setiap LLM ini dengan mencipta 1,000 kata laluan, dan setiap kata laluan ini mengulangi huruf dan simbol tertentu. Ini akan memberi laluan kepada penggodam untuk mengagak kata laluan anda.

Selain itu, Kaspersky telah membina algoritma pembelajaran mesin untuk cuba mengagak kata laluan yang dijana oleh AI. Dengan algoritma tersebut, ia berjaya mengagak 88% daripada kata laluan yang dijana oleh DeepSeek dan 87% daripada Llama, manakala kata laluan yang dijana oleh ChatGPT adalah lebih kukuh di mana hanya 33% daripadanya boleh diagak dengan algoritma tersebut.

Bagi menjana kata laluan yang benar-benar kukuh, Kaspersky menggalakkan orang ramai untuk gunakan perisian pengurusan kata laluan yang berdedikasi, seperti Kaspersky Password Manager. Ia bukan sahaja boleh menjana kata laluan yang kukuh, malah menyediakan fungsi auto-isi (auto-fill) dan penyeragaman (synchronisation) merentas pelbagai peranti bagi memudahkan anda mengisi kata laluan dalam sebarang peranti.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version