Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengingatkan rakyat untuk tidak terpedaya dengan mesej tular yang kononnya memaklumkan jalan pintas untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
Dalam mesej tersebut, ia menunjukkan langkah-langkah yang kononnya perlu dilakukan bagi mendapatkan temu janji untuk vaksin COVID-19. KKM mengingatkan bahawa tidak terdapat sebarang jalan pintas untuk mendapatkan janji temu, ia hanya akan diberikan secara automatik dan berperingkat kepada mereka yang telah berdaftar.
Dalam pada itu, menteri yang bertanggugjawab dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin mengatakan Malaysia akan menerima 12 juta dos pada bulan Julai. Baru-baru ini, penerima vaksin AstraZeneca sudah pun menerima temu janji kedua, manakala dua juta vaksi Pfizer sudah pun tiba di Malaysia pada hari ini.
Kami berharap para pembaca tidak akan terpedaya dengan sebarang maklumat palsu berkenaan vaksin. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

