Site icon TechNave BM

Janji temu untuk klinik kerajaan kini boleh dibuat dalam aplikasi MySejahtera

Rakyat Malaysia kini boleh menggunakan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta mengurangkan masa menunggu di fasiliti KKM.

Ia bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer untuk mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di situ.

Menurut Menteri KKM Dr Zaliha Mustafa, perkhidmatan ini akan dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa, bermula dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan Peka B40 dan khidmat berhenti merokok.

Pada masa hadapan, ia akan diluaskan kepada perkhidmatan kesihatan lain seperti rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan untuk pra-pekerjaan dan pra-pengajian, saringan pra-perkahwinan, perancangan keluarga dan rawatan luka.

Dengan temu janji MySejahtera ini, pelanggan boleh membuat perancangan masa dengan lebih tepat dan juga boleh mengubah tarikh janji temu sekiranya terdapat masalah. MySejahtera juga akan memberi peringatan automatik apabila tarikh temu janji semakin hampir.

Untuk kes kecemasan, demam atau penyakit berjangkit pula, orang ramai tidak perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version