JCB iaitu pengeluar peralatan dan jentera berat Britain telah melebarkan sayapnya dalam arena telefon pintar dengan mengeluarkan dua model telefon Android tahan lasak baharu. JCB Toughphone dan Toughphone Max mematuhi standard MIL-SPEC 810G dan mempunyai penarafan IP68 untuk rintangan habuk dan air sehingga 1.5m air selama 30 minit.
Peranti baharu ini menampilkan bingkai polikarbonat yang dikeraskan dan bahagian belakang dengan unsur logam. JCB Toughphone menampilkan LCD IPS 5.7 inci dengan resolusi HD+ dan takuk titisan air yang menempatkan kamera swafoto 20MP.
Toughphone Max membawakan LCD IPS 6.67 inci dengan resolusi FHD+ dan kamera swafoto 20MP yang diletakkan di dalam potongan lubang tebuk. Kedua-dua peranti memiliki skrin dilindungi Gorilla Glass dengan getah yang diletakkan pada badannya untuk perlindungan jatuh tambahan serta pelindung skrin kaca.
Toughphone mempunyai kamera belakang tunggal 20MP dan denyar LED manakala Toughphone Max dilengkapi dengan kamera utama 48MP, ultralebar 16MP, makro 2MP dan VGA. Toughphones dikuasakan oleh cipset MediaTek Helio P22 dengan RAM 6GB dan storan 128GB sementara Toughphone Max dilengkapi Dimensity 700 dengan RAM 8GB serta storan 256GB.
Bateri JCB Toughphone berkapasiti 4,050 mAh manakala bateri untuk varian Max berkapasiti 12,200 mAh yang mampu bertahan sehingga 30 hari. Toughphone hadir dengan sistem operasi Android 13 manakala Toughphone Max memebawakan Android 12. JCB Toughphone dijual dengan tanda harga £300 (~RM1,532) manakala Toughphone Max berharga £600 (~RM3,063).
Adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat pada telefon ini kerana keunikan yang dibawakan oleh JCB. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan tersedia untuk pasaran Malaysia atau anda perlu membelinya secara terus daripada pasaran luar negara.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: JCB

