Site icon TechNave BM

Jepun akan buka sekolah e-sukan pertama pada 2022

Sebuah sekolah menengah yang dikhaskan untuk e-sukan bakal dibuka di Jepun pada bulan April 2022, menjadikannya sekolah pertama dalam negara itu yang akan memfokuskan pada pembangunan kemahiran e-sukan serta rekaan game di kalangan pelajarnya.

Sekolah yang bernama Esports Koutou Gakuin (eスポーツ高等学院) itu terletak di Shibuya, Tokyo dan dibina dengan kerjasama syarikat telekomunikasi tempatan NTT Docomo serta pasukan e-sukan yang dimiliki oleh Tokyo Verdy iaitu sebuah kelab bola sepak profesional.

Sekolah unik ini akan mempunyai 40 buah komputer gaming Galleria XA7C-R37 yang dilengkapi cipset Intel Core i7-11700, RAM 32GB, SSD 1TB dan GPU NVIDIA GeForce RTX 3070. Mereka tidak menyatakan nama game yang akan ditawarkan secara spesifik, namun genre yang akan diajar termasuklah tembak-menembak sudut pandang pertama (FPS) dan sudut pandang ketiga (TPS), strategi (RTS) serta arena perlawanan (MOBA).

Tenaga pengajarnya terdiri daripada pemain e-sukan profesional dan pakar industri. Walaupun para pelajar akan meluangkan banyak masa berlatih dengan game, mereka masih perlu mempelajari sukatan kurikulum standard untuk pendidikan sekolah Jepun.

Selain menjadi atlit e-sukan profesional atau streamer, sekolah itu juga mengatakan para graduan berpeluang untuk bekerja sebagai pembina game, pereka seni 3D, pereka efek khas dan ahli pemprogram selepas mereka selesai dengan kurikulum sekolah.

Mereka yang berminat untuk mendaftarkan diri dalam sekolah ini boleh melawatnya pada bulan Januari 2022. Setakat ini, masih tiada maklumat tentang yuran pendaftarannya.

Kongsi pendapat anda tentang sekolah unik ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: E-Sports High School

Exit mobile version