Site icon TechNave BM

Jepun haramkan penggunaan “power bank” dalam pesawat bermula April 2026

Kerajaan Jepun bakal melarang penggunaan power bank (bank kuasa) dalam pesawat bermula April ini susulan peningkatan insiden kebakaran melibatkan bateri lithium-ion dalam kabin penerbangan. Larangan tersebut dimaklumkan oleh Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism kepada syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa yang beroperasi di Jepun.

Dalam peraturan baharu, penumpang tidak lagi dibenarkan menggunakan power bank untuk mengecas telefon pintar atau peranti elektronik lain semasa penerbangan termasuk mengecas semula power bank melalui soket kuasa dalam pesawat.

Dalam masa sama, jumlah power bank yang boleh dibawa ke dalam kabin akan dihadkan kepada maksimum dua unit bagi setiap penumpang sebagai langkah mengurangkan risiko haba berlebihan atau kebakaran.

Langkah ini diperkenalkan selepas beberapa insiden melibatkan power bank yang mengeluarkan asap atau terbakar dalam kabin pesawat termasuk kejadian pada 2025 yang melibatkan kebakaran berpunca daripada bateri mudah alih dalam ruang simpanan bagasi atas. Tambahan, terdapat juga larangan bateri lithium-ion dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk.

Peraturan baharu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha global industri penerbangan untuk memperketat kawalan keselamatan terhadap peranti berasaskan bateri lithium-ion yang berisiko menyebabkan kebakaran ketika penerbangan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Japan Today

Exit mobile version