Site icon TechNave BM

Jika anda bosan di rumah, Apple tawarkan Final Cut Pro X secara percuma untuk anda cuba selama 90 hari

Apple telah melanjutkan tempoh percubaan percuma bagi perisian suntingan video profesional, Final Cut Pro X, daripada 30 hari ke 90 hari. Jika anda tidak mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, mungkin anda boleh belajar menyunting video pada masa ini.

Tawaran ini juga layak dimohon oleh mereka yang masih berada dalam tempoh percubaan asal 30 hari dan melanjutkan percubaan mereka dengan 90 hari lagi. Untuk mendapatkan percubaan Final Cut Pro X ini, layari laman web Apple untuk mendaftar.

Apple juga akan menawarkan tempoh percubaan yang serupa buat perisian suntingan audio, Logic Pro X, apabila ia dikeluarkan dalam masa terdekat. Selepas anda melepasi percubaan 90 hari, harga lesen perisian Final Cut Pro X adalah US$300 (~RM1,300) dan untuk Logic Pro X pula adalah US$200 (~RM870).

Mana tahu, mungkin dengan mempelajari penyuntingan video sekarang, anda boleh jadi bintang internet popular selepas ini! Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Engadget

Exit mobile version