Site icon TechNave BM

JPJ akan gunakan kamera GoPro Max 360 untuk cari pesalah trafik sewaktu Hari Raya

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bakal menggunakan 128 buah kamera aksi GoPro Max 360 bagi memantau gerakan trafik sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, beliau berkata kamera tersebut bakal digunakan oleh unit penguatkuasaan bermotosikal di kawasan titik panas (hotspot). Ia akan memfokuskan pada sembilan kesalahan utama di kalangan pengguna jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan.

GoPro Max 360 yang bakal digunakan oleh JPJ

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, mengguna telefon bimbit sewaktu memandu, memotong di laluan kiri dan membawa lebih muatan. Melalui rakaman yang diperolehi, pesalah akan dipanggil untuk disoal siasat sebelum sebarang tindakan diambil.

Penggunaan kamera ini adalah sebahagian daripada Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 yang akan berlangsung sehingga 9 Mei 2022. JPJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen (JIM) dan Plus Expressways Bhd.

Sebelum ini, PDRM juga telah mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan sistem iCOPS dan radar kereta untuk mencari pesalah trafik sepanjang musim perayaan ini.

Kami berharap para pembaca akan kekal selamat sewaktu memandu ke kampung halaman. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Astro Awani

Exit mobile version