Beberapa jam lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah melancarkan satu kaji selidik maklum balas pelanggan bagi menambah baik perkhidmatan digital mereka. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen JPJ untuk menyediakan pengalaman dalam talian yang lebih mesra pengguna dan efisien kepada orang ramai.
JPJ kini mengalu-alukan penyertaan orang awam untuk berkongsi pengalaman dan cadangan mereka berkaitan penggunaan platform digital JPJ. Tinjauan ini boleh disertai dengan mengimbas kod QR yang disediakan dalam pengumuman rasmi JPJ atau dengan melayari pautan terus ke Kaji Selidik Perkhidmatan Digital JPJ.
JPJ menyatakan bahawa maklum balas yang diterima akan membantu secara langsung dalam usaha transformasi digital jabatan itu ke arah menjadi agensi perkhidmatan awam yang lebih moden dan mudah diakses. Kaji selidik ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan beberapa ciri di platform digital JPJ seperti pembaharuan lesen memandu secara dalam talian, akses kepada perkhidmatan berkaitan kenderaan serta pengalaman keseluruhan pengguna.
Antara platform utama JPJ yang terlibat ialah aplikasi MyJPJ, sistem JPJeBid dan portal rasmi atas talian. Dalam pada itu, perkhidmatan digital kerajaan sering menjadi topik gurauan rakyat berkenaan prestasi dan antaramuka pengguna (UI). Seiring itu, kerajaan Malaysia baru-baru ini turut mengumumkan pelancaran aplikasi MyGOV Malaysia yang dijadualkan pada Julai 2025 yang bertujuan menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu platform.
Orang ramai yang pernah menggunakan perkhidmatan digital JPJ digalakkan untuk mengambil bahagian agar suara pengguna dapat membantu mempercepat peningkatan sistem sedia ada. Untuk berikan maklum balas, sila klik di sini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

